Kerajaan Beri Vaksin Covid-19 Percuma Kepada Semua Warga Asing, Termasuk Yang Tiada Dokumen Sah.

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju memperluas pemberian vaksin secara percuma kepada semua rakyat asing yang menetap di Malaysia.

Mereka merangkumi diplomat, ekspatriat, pelajar, pasangan dan anak, pekerja asing, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) serta warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN

Perkara itu diumumkan melalui satu kenyataan media bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin selepas Mesyuarat Kabinet bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semalam.

“Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam bersetuju supaya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada penghujung bulan ini turut membabitkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

“Ini membabitkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia,” kata kenyataan itu, hari ini.

Katanya, selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’, pemberian vaksin secara percuma kepada golongan itu adalah selepas mengambil kira beberapa faktor.

“Antara faktor berkenaan adalah persekitaran selamat serta bebas Covid-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin.

“Selain itu, dalam tempoh pandemik, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan serta rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing terutama sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan,” katanya.

Menurutnya, selain itu faktor kos rawatan dan kuarantin pesakit Covid-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kluster pekerja asing dan mereka juga sudah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara turut diambil kira.

“Malah, mesyuarat kabinet juga mengambil kira layanan sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara mereka.

“Keputusan ini memudahkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara dan membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Bagaimanapun, keutamaan pemberian vaksin Covid-19 tetap diberikan kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu. Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warga asing akan diumumkan kelak,” katanya.

Katanya, keputusan pemberian vaksin secara percuma itu juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin Covid-19 yang diperolehi Malaysia mencukupi serta melebihi jumlah rakyat Malaysia yang layak menerimanya.

“Ini juga selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Khairy melalui ciapan di Twitter memaklumkan, JKJAV akan berbincang secara lanjut kaedah pemberian vaksin secara menyeluruh kepada semua warga asing di Malaysia melalui kerajaan negeri, kedutaan asing serta agensi badan bukan kerajaan (NGO).

 

sumber : hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*