Kenapa kena bayar yuran penuh kalau belajar dalam talian? Tak Masul Akal – Nabila Huda

Nabila Huda mempertikaikan tindakan sesetengah sekolah yang mengenakan yuran secara penuh walaupun pembelajaran kini diadakan secara dalam talian.

Menurut aktres itu, dia membangkitkan perkara itu kerana merasakan kaedah dalam talian kurang berkesan berbanding pembelajaran secara bersemuka.

“Kelas dalam talian tapi tetap kena bayar penuh, tak masuk akal langsung. Sekolah pun tutup, bukan ada orang guna kemudahan, cuma nak bayar gaji cikgu.

“Kenapa kita nak kena terus membayar kalau macam ini. Tak semua anak boleh faham sepenuhnya dengan kelas dalam talian.

“Kelas secara dalam talian tidak 100 peratus berkesan untuk anak perempuan saya,” katanya di Instragram.

Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi tahun ini akan bermula pada 20 Januari.

Ia melibatkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah bagi pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional.

Bagaimanapun KPM minggu lalu mengumumkan penangguhannya susulan peningkatan kes Covid-19 serta penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Buat masa ini semua pelajar akan melakukan kelas di atas talian.

 

Menurut pemilik nama penuh Nabila Huda Suhaimi itu lagi, dia risau apabila anaknya, Keisha Laila, 11, kelihatan tidak berminat untuk belajar secara dalam talian.

“Banyak subjek yang (murid) tak dapat belajar dengan betul sebab tak minat nak mengadap komputer kerana mereka perlu sentuh dan tengok untuk faham,” katanya.

Justeru, dia meminta pihak terlibat untuk bertolak ansur dengan ibu bapa dan memahami situasi yang perlu didepani mereka ketika ini.

“Kepada semua ibu bapa, sudah sampai masanya kita berhenti bayar yuran sekolah kalau tak ada sesiapa pun nak bantu selesaikan masalah dari tahun lalu.

“Kamu bayar RM18,000 untuk kelas dalam talian setahun? Tak masuk akal.

“Tak bolehkah sekolah juga bertolak ansur, faham situasi kami macam kami faham sekolah nak kena bayar gaji cikgu?…Ini tidak adil untuk kami,” katanya.

Pada masa sama, pelakon Munafik itu berkata dia sedang menimbang untuk mencari guru yang boleh mengajar anaknya di rumah.

“Memang dulu saya pangkah sama sekali pembelajaran di rumah sebab saya nak dia (Keisha) bergaul dan menikmati zaman kanak-kanaknya.

“Tapi dalam keadaan sekarang saya dah tak ada pilihan dan sedang cari orang yang boleh ajar semua subjek kepada anak saya,” katanya lagi.

sumber : mk

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*