
PETALING JAYA: Seorang pekerja penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas setelah melanggar lubang di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara berhampiran pusat beli belah The Curve di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 1.15 petang, mangsa, Hew Yoong Le, 31, yang berkhidmat dengan syarikat Grabfood itu hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan selepas terlanggar lubang jalan.
“Pembantu perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Nik Ezanee memberitahu, bedah siasat ke atas mangsa yang beralamat Kampung Chempaka itu akan dilakukan selepas keputusan saringan COVID-19 diperolehi.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu, motosikal mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
Katanya, siasatan kes tersebut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, kejadian sama berlaku apabila seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas setelah melanggar lubang di jalan menghala pusat beli-belah Mid Valley Megamall pada awal pagi.
KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas setelah melanggar lubang di jalan menghala Midvalley awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ketika kejadian mangsa berusia 75 tahun itu dipercayai menunggang motosikal seorang diri.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari arah Jalan Connaught menghala ke Midvalley terbabas sendiri selepas melanggar lubang di jalan berkenaan lalu terjatuh di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Zulkefly berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke bilik forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk tujuan bedah siasat.
sumber : awani
Leave a Reply