
Selepas seharian hanya berdiam diri, akhirnya selebriti terkenal, Noor Neelofa Mod Noor, 31 akhirnya membuka mulut menjawab segala teka-teki yang sedang ‘menghantui’ para peminat mengenai hubungannya bersama pendakwah muda, PU Riz.
Sebentar tadi Neelofa menerusi kenyataannya memaklumkan bahawa beberapa tuduhan yang dinyatakan oleh netizen adalah tidak benar seperti dakwaan dia terkena buatan minyak pengasih.
View this post on Instagram
Menurut jelitawan tersebut perkara itu sama sekali dinafikan olehnya dan tuduhan itu sangat berat. Dia berada dalam keadaan baik dan berharap agar orang ramai dapat mendoakan kesihatannya.
Selain dairpada itu, Neelofa juga menidakkan dakwaan bahawa dia memindahkan sejumlah wang kepada PU Riz dan tuduhan sudah bernikah juga tidak benar.
Dalam pada itu, bekas pengaca Meletop ini juga meminta orang ramai supaya tidak menerima semua andaian tersebut bulat-bulat dan berharap semua yang membaca memikirkan sewajarnya berkenaan dakwaan-dakwaan tersebut.
Walau bagaimanapun, mengulas mengenai hubungannya dengan PU Riz, Neelofa memaklumkan bahawa terdapat cerita tersendiri yang tidak manis untuk didedahkan kepada umum kerana dia enggan membelakangkan keluarga dalam membuat kenyataan.
“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian. Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak.” Katanya.
Neelofa juga mengambil kesempatan memohon maaf kepada ahli keluarganya dan ahli keluarga PU Riz atas semua perkara yang terjadi memandangkan mereka belum lagi mempunyai sebarang ikatan yang sah.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku. Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan.” Tambahnya.
Di akhir kenyataan tersebut, pengasas jenama Neelofar ini memohon kerjasama semua pihak agar memberinya ruang untuk bertenang dan berharap agar perkara ini tidak terus berpanjangan.
“Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya. Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan. Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai.” Ujarnya.
Terdahulu, hubungan antara Neelofa dan PU Riz seakan bergelora apabila adik-beradik jelitawan tersebut memuat naik qoute kata-kata yang sama di media sosial masing-masing. Ibunya juga telah memadam gambar pertunangan Neelofa dan PU Riz di Instagram serta ahli keluarganya sudah tidak mengikuti pendakwah itu di media sosial tersebut.
Tambah memburukkan keadaan, beberapa tangkapan skrin perbualan WhatsApp dari ‘orang dekat’ Neelofa yang mengatakan pasangan tersebut didakwa sudah menikah juga telah tular.
Sumber: Neelofa /OMM
Leave a Reply