Mutasi Baru COVID-19 Di Kesan Di Malaysia, Ini Kata-Kata Dr Noor Hisham..

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan mutasi baharu virus COVID-19 di Malaysia, yang dikenali sebagai A701V, hasil kajian terhadap sampel dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mutasi itu dikesan hasil ujian terhadap 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu.

Katanya, Kementerian Kesihatan belum dapat menyimpulkan sama ada mutasi baharu itu memiliki tahap kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat ‘ganas’.

“Ogos lalu, kita mengesan mutasi virus D614G di Kedah melalui kluster Sivagangga, selain ia turut dikesan di Johor di dan Sabah.

“Hasil ujian daripada 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu pula, kita mendapati terdapat juga mutasi A701V, yang turut pernah dikesan di Afrika Selatan, Australia dan Belanda.

“Bagaimanapun, kita belum dapat pastikan impak kesihatannya, sama ada mutasi A701V ini memiliki kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat ‘ganas’ seperti D614G,” katanya pada sidang media mengenai COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, virus COVID-19 akan sentiasa bermutasi, namun apa yang perlu diberi tumpuan ialah sama ada mutasi baharu itu memiliki impak kesihatan yang lebih besar, berbanding varian sedia ada.

“Contohnya seperti mutasi D614G didapati memiliki 10 kali lebih jangkitan. Begitu juga varian baharu di United Kingdom (UK) dikenali sebagai VUI-202012/01, yang dikatakan 70 peratus lebih mudah berjangkit.

“Kementerian Kesihatan sedang memantau kesan mutasi baharu A701V ini, dari segi sama ada ia memiliki kesan pada keberkesanan vaksin, kadar kebolehjangkitan meningkat dan keganasan virus ini,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menambah kembali tempoh kuarantin individu dari luar negara kepada 14 hari, berbanding 10 hari susulan penemuan mutasi baharu di UK, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan masih kekal dengan tempoh 10 hari.

“Kajian menunjukkan tidak banyak beza antara kuarantin selama 10 hari atau 14 hari kerana kebanyakan kes yang dijangkiti virus itu akan bergejala atau boleh dikesan pada minggu pertama.

“Jika lihat varian baharu di UK, Malaysia masih mengekalkan sekatan masih dijalankan membabitkan 23 negara, dan individu dari negara terbabit akan kekal disaring dan dipantau selama 10 hari,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*