Rantau Panjang: Tiga beradik rakyat Malaysia yang terkandas selama sembilan bulan bersama ibunya warga Thailand di Yala, Selatan negara itu, selamat tiba di pekarangan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, tengah hari tadi.
Wakil Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla Sarizal Ramli yang mengiringi keluarga itu berkata, semua mereka akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kanak-kanak terbabit iaitu Muhamad Adam Daniel, 12, Muhamad Arash Raihan, 7, dan Muhamad Muhaimin Putra,4, bersama ibu mereka Sakina Museh, 38, menjalani pemeriksaan kesihatan di Thailand dan kini perlu dikuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
“Sakina sebelum ini dipercayai kembali ke Thailand, pada 16 Mac lalu untuk memperbaharui visa perjalanan yang tamat tempoh dan terperangkap di sana akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19.
“Suaminya adalah rakyat Malaysia berasal dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia tahun lalu akibat kanser. Sebenarnya, kepulangan mereka ini adalah dengan bantuan Konsulat Malaysia di Songkla dan Gabenor Wilayah Narathiwat, Thailand.
“Sebelum ini, pihak kami melawat rumah sewa sementara yang didiami keluarga ini di Kampung Kota Baru Reman, Yala bagi menyampaikan perkhabaran gembira selain bantuan keluarga ini turut diluluskan oleh Zakat Selangor termasuk bantuan persekolahan tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Kisah empat beranak terbabit tular sejak beberapa hari lalu dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
Leave a Reply