
Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu positif Covid-19 hari ini meningkat 2,018 kes menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 95,327 kes dengan jumlah kes aktif 16,496 kes.
Ia jumlah ketiga tertinggi pernah dilaporkan sejak penularan pandemik Covid-19 di negara ini.
Jumlah tertinggi pernah direkodkan sebelum ini adalah pada 10 Disember lalu, iaitu sebanyak 2,234 kes Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tujuh kes import dilaporkan, manakala 2,011 kes lagi membabitkan penularan tempatan.
“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,204 kes diikuti Johor (278 kes) dan Sabah (247 kes).
“Sebanyak 243 kes dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Gajah (234 kes) Kluster Penjara Jalan Harapan (6 kes) dan Kluster Tembok (3 kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Hisham berkata, terdapat 109 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Sebanyak 1,084 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 78,393 kes atau 82.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Terdapat satu kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan seorang lelaki bukan warganegara berusia 50 tahun yang tidak mempunyai latar belakang penyakit kronik di Tuaran, Sabah.
“Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 438 kes atau 0.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.
Kluster Baru Di Selangor
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Pekapuri yang dilaporkan di Gombak, Selangor.
“Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula hari ini melalui saringan bersasar di tempat kerja membabitkan 202 kes dikesan positif.
“Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Batu Besar yang dilaporkan di Klang, Selangor membabitkan 59 kes dikesan positif dalam kluster ini,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Noor Hisham berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Tower yang dilaporkan di Gombak, Hulu Langat dan Sepang, Selangor serta Titiwangsa dan Cheras, Kuala Lumpur selain Temerloh, Pahang dengan 20 kes dikesan positif.
“Kluster keempat dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Pelangi yang dilaporkan di sebuah tapak binaan di Kepong, Kuala Lumpur membabitkan 23 kes dikesan positif.
“Kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Wawasan yang dilaporkan di Petaling, Selangor serta Lembah Pantai, Kuala Lumpur selain Putrajaya dengan enam kes dikesan positif,” katanya.
Katanya, kluster keenam dikenal pasti adalah Kluster Delima dilaporkan di Titiwangsa, Kuala Lumpur serta Gombak dan Hulu Langat, Selangor membabitkan sembilan kes positif.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sungai Putus (570 kes), Kluster Tembok Gajah (234 kes) dan Kluster Pekapuri (202 kes),” katanya.
Leave a Reply