
Kuala Lumpur: Jika sebelum ini sepanjang laluan ke Stadium Bola Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak di sini, lengang dengan penjaja, kini suasananya jauh berbeza.
Mana tidaknya, sepanjang dua kilometer di bahu jalan itu kini dipenuhi golongan penjaja yang tumbuh bak cendawan membuka gerai bagi mencari rezeki berikutan terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.
Peniaga Nasi Ayam Vaganzz, Muhammad Aidil Irfan Mohd Fuad, 22, berkata, dia yang mula berniaga sejak awal tahun ini mengakui selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ramai peniaga berniaga di kawasan itu.
Dia juga mengakui perniagaannya terjejas akibat Covid-19, namun tetap membuka gerai jualan seperti biasa dan bersyukur masih diberi peluang oleh pihak berkuasa untuk berniaga di sini.
“Sekarang tempat ini lebih meriah dan semakin menjadi tumpuan pelanggan yang ingin mendapatkan pelbagai jenis makanan berbanding sebelum PKP,” katanya yang turut dibantu adiknya berusia 15 tahun.
Bagi, peniaga buah, Junaidi Sudirman, 34, berkata, dia bersyukur dapat berniaga secara percuma di kawasan itu kerana sebelum ini perniagaan barangan basah tidak begitu mendapat sambutan.
“Sebelum ini saya menjual ikan secara online, tetapi kurang sambutan dan akhirnya saya pilih menjual buah dan mula berniaga di sini selepas Aidilfitri lalu kerana pasar malam masih ada yang belum dibuka,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Selain itu, bagi Shikin Ain Aziz, 37, pula dia juga mencuba nasib mencari rezeki dengan membuka gerai jualan di kawasan itu yang dilihatnya strategik kerana menjadi tumpuan pelanggan sejak PKP.
“Saya menjadi ejen bagi beberapa jenama produk minuman dan makanan keluaran tempatan. Semasa PKP saya menjual produk dalam talian namun selepas kelonggaran PKPP, jualan menurun. Saya cuba berniaga di sini memandangkan saya memang tinggal di kawasan berhampiran.
“Seronok dapat berniaga bersama peniaga lain di sini dan sama-sama mencari rezeki,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai pentadbiran dan terpaksa mengambil skim pemisahan sukarela (VSS).
Bagi peniaga Ayyub Nasi Arab, Che Ayub Manan, 49, pula dia hanya berniaga di kawasan itu setiap Isnin, Khamis dan Ahad.
“Saya menjual nasi arab dan seawal 11 pagi sudah membuka gerai di sini dan syukur pelanggan sentiasa ada dan selain kawasan ini saya turut berniaga di beberapa kawasan lain,” katanya yang menjual resipi nasi arab buatan sendiri.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan mendapati rata-rata peniaga mula membuka gerai bermula 11 pagi sehingga 6 petang.
Pelbagai makanan dan minuman dijual untuk menarik kunjungan pelanggan sejak pendapatan mereka terjejas akibat penangan Covid-19.
Hakikatnya, walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, ramai memilih untuk mencuba nasib mencari pendapatan dengan berniaga.
Malah, kebanyakan peniaga di situ melahirkan rasa lega serta bersyukur kerana pihak berkuasa membenarkan mereka berniaga di sepanjang laluan berkenaan tanpa mengenakan sebarang bayaran.
sumber : hmetro
Leave a Reply