Pulau Langkawi Sunyi Sepi, Industri Pelancongan Gesa Kerajaan Tamatkan PKPB

Sekitar Jun lalu, Langkawi telah mencetuskan fenomena apabila 1,000 bilik hotel di ditempah dalam tempoh 45 minit.

Perkara itu berlaku susulan pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP.

Namun itu semua tinggal kenangan apabila, situasi COVID-19 kini semakin meruncing, ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terbaharu, beberapa persatuan mewakili sektor perhotelan, perniagaan serta pemandu pelancong di Langkawi merayu kerajaan menamatkan pelaksanaan PKPB di pulau peranginan itu yang kini disifatkan sedang ‘nazak’ ekoran ketiadaan pelancong.

 

Persatuan berkenaan ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah dan Perlis.

Turut sama membuat rayuan tersebut ialah Dewan Perniagaan Cina Langkawi, Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi serta syarikat pengendali feri Konsortium Ferry Line Ventures.

 

Timbalan Presiden Niagakawi Datuk Alexander Isaac berkata industri pelancongan Langkawi semakin suram sekali gus menyebabkan kesan terhadap ekonomi penduduk yang amat bergantung kepada kehadiran pelancong.

“Kumpulan ini mewakili lebih 8,000 pekerja yang terlibat secara langsung atau tidak dalam sektor pelancongan. Kami merayu agar kerajaan menamatkan PKPB di Langkawi memandangkan pulau ini berada dalam kategori zon hijau.

“Ketika ini tiada pelancong yang datang, jika kerajaan menamatkan PKPB di Langkawi serta membenarkan perjalanan antara kawasan hijau, keputusan ini bakal memberi sinar kepada pulau ini, ” katanya.

Alexander berkata selain itu mereka juga berharap kerajaan memberi pertimbangan untuk menyediakan moratorium menyeluruh dan bantuan kewangan segera kepada semua peniaga di Langkawi agar dapat meneruskan perniagaan.

Diharapkan pandemik ini semakin pulih dan industri pelancongan negara kembali aktif.

Sumber: Bernama

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*