
SELANGOR tidak setuju dengan tindakan Putrajaya mengenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ke atas seluruh negeri itu, ketika hanya sebahagian daerahnya mempunyai kes Covid-19 membimbangkan, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
Katanya, pengumuman pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor “agak mengejutkan kerajaan negeri” dan pihaknya akan menghantar cadangan balas untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sehingga hari ini, secara konsensus kerajaan negeri melihat ada beberapa cadangan tertentu yang boleh dikemukakan kepada MKN untuk dipertimbangkan.
“Kerajaan negeri berpandangan bahawa beberapa kawasan yang masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor adalah masih terkawal.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan menghantar cadangan balas kepada pihak MKN dengan segera agar dapat diberi pertimbangan semula,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Amirudin juga berkata mesyuarat kerajaan negeri petang tadi dimaklumkan hanya Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling yang mempunyai bilangan kes Covid-19 yang membimbangkan.
Kenyataan Amirudin menyusul pengumuman menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob PKPB akan dikenakan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama dua minggu antara 14 hingga 27 Oktober.
Amirudin dalam pada itu menggesa komunikasi krisis yang lebih berkesan untuk kemudahan semua pihak, terutamanya petugas barisan hadapan dan rakyat.
Amirudin mengeluarkan kenyataannya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Selangor bersama Jabatan Kesihatan Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi untuk mengumumkan PKPB di daerah Petaling.
PKPB sebelum ini dikuatkuasakan di mukim Klang berkuatkuasa 9 Oktober selama 14 hari.
Kementerian Pendidikan sebelum ini juga mengumumkan sekolah di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam ditutup berkuat kuasa hari ini.
Selangor hari ini mencatatkan pertambahan 69 kes baharu Covid-19.
PKPB yang dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya bermula Rabu ini akan menyebabkan semua institusi pendidikan, sekolah, masjid dan rumah ibadat, serta taman awam dan pusat rekreasi ditutup.
Kegiatan ekonomi bagaimanapun masih dibenarkan beroperasi seperti biasa, kata Ismail.
“Senarai SOP lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat,” katanya.
Selain Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya, PKPB juga dikenakan ke atas seluruh Sabah, yang mencatatkan peningkatan mendadak dan besar kes Covid-19 setiap hari sejak hampir dua minggu lalu. – 12 Oktober, 2020.
sumber : themalaysianinsight
Leave a Reply