
Lelaki disahkan positif Covid-19 menghilangkan diri ketika menunggu di Unit Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, di sini, semalam.
Lelaki berusia 53 tahun itu dikatakan dibawa ke pusat berkenaan selepas mendapat keputusan ujian di Klinik Kesihatan Telipok.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek diminta untuk menyerah diri di mana-mana klinik kesihatan berdekatan dalam kadar segera.
Katanya, suspek lelaki yang beralamat Taman Puterajaya, Telipok dan disahkan positif dalam ujian yang dibuat sehari sebelum itu.
“Pihak Klinik Kesihatan Telipok juga sudah menghubunginya namun suspek tidak menjawab panggilan.
“Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dan polis sedang giat mengesan suspek untuk tindakan lanjut dan setakat ini, suspek masih gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sehubungan itu, Habibi menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan melaporkan lokasinya sekiranya mengenali suspek.
Leave a Reply