
Kepala Batas: Rata-rata ibu bapa dan penjaga kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, di sini, meluahkan rasa sangsi dan ragu-ragu menghantar anak ke sekolah esok berikutan belum cukup tempoh 14 hari bagi menunjukkan keadaan benar-benar selamat daripada Covid-19.
Sekolah itu sebelum ini diarah tutup selama lapan hari susulan seorang guru wanita disahkan positif Covid-19 selepas terjangkit daripada suaminya yang juga seorang ahli politik yang pulang dari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Sekolah itu akan mula beroperasi esok namun hanya untuk murid Tahun Tiga hingga Enam saja manakala Tahun Satu dan Dua masih perlu menjalani kuarantin seperti dimaklumkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.
Peniaga, Hasimi Ayu Hashim, 45, berkata, dia masih bimbang untuk menghantar dua anak kembarnya ke sekolah esok memandangkan belum tahu sepenuhnya keputusan ujian saringan Covid-19 sama ada sudah bebas dari wabak berkenaan atau sebaliknya.
“Kedua-dua anak saya adalah murid Tahun Empat di sekolah itu namun dalam hati saya masih terdetik rasa bimbang kerana sepatutnya tempoh untuk pastikan keadaan benar-benar selamat adalah selama 14 hari.
“Apatah lagi belum mengetahui sepenuhnya sama ada keputusan ujian saringan yang dilakukan semua negatif atau tidak.
“Oleh itu, saya fikir bahawa tidak akan menghantar anak saya ke sekolah terlebih dulu dan melihat keadaan seterusnya sebelum membuat keputusan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Dia berkata, sepanjang tempoh anaknya tidak bersekolah, dia langsung tidak membawa mereka keluar dan keadaan itu akan berlarutan bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan.
Menurutnya, pihak pengurusan sekolah juga sentiasa memberi maklumat dari semasa ke semasa mengenai situasi serta perkembangan terkini melalui kumpulan Whatsapp yang diwujudkan.
Bagi Shahrom Hassan, 64, dia mengesyorkan kepada anaknya supaya tidak menghantar dua cucunya bersekolah buat masa ini dan menunggu sehingga cukup tempoh 14 hari.
“Untuk cucu saya yang belajar di Tahun Dua dia masih perlu kuarantin namun untuk Tahun Lima pula perlu ke sekolah esok.
“Saya risau kalau adiknya perlu kuarantin inikan pula seorang lagi kena pergi ke sekolah yang sepatutnya dia juga perlu duduk di rumah sehingga tempoh kuarantin adiknya habis.
“Pihak pengurusan sekolah dan guru harap faham dengan situasi yang dialami ibu bapa serta penjaga yang mana kami bukan sengaja untuk pontengkan anak-anak tetapi mahu berjaga-jaga,.” katanya.
Tinjauan yang diadakan mendapati keadaan sekolah itu lengang namun keadaan kampung bertukar sibuk tetapi masih dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan penduduk keluar bagi menjalankan urusan penting saja.
sumber : hmetro
Leave a Reply