
PENYANYI, Zizi Kirana ingin mencari wanita bernama Jamaliah Mohamad yang menjadi pemanggil dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), Khamis lalu.
Ia susulan pemanggil itu yang keliru antara dirinya dengan penyanyi, Sissy Imann yang menjadi artis jemputan pada program itu baru-baru ini.
Zizi berkata, dia ingin bertemu dengan wanita itu sebagai tanda penghargaan buat peminatnya yang berasal dari Taiping itu.
“Saya cuba mencari Kak Jamaliah itu namun belum berhasil. Pihak MHI ada menghubungi saya dan mereka juga tak dapat kesan nombor telefon pemanggil itu kerana panggilan dibuat dari luar,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah penyanyi lagu Eh itu, sekiranya dia tidak berpeluang bersua muka dengan wanita itu kerana kekangan akibat Covid-19, panggilan video juga sudah memadai.
“Kalau nak ke Taiping dalam situasi sekarang, mungkin agak mencabar tapi kalau ikutkan saya, saya nak pergi ke sana. Tapi, kalau tak boleh, dapat buat panggilan video pun dah okay.
“Saya terharu apabila ada peminat yang meminati saya. Bukan dia saja, bahkan anaknya juga meminati lagu saya sampai menjadikannya sebagai nada dering telefon.
“Jadi, kalau dapat berjumpa, saya nak nyanyikan lagu itu untuk dia dan anaknya,” katanya.
Zizi juga berkongsi video itu di Instagramnya dan meminta bantuan pengikutnya untuk mencari identiti wanita itu.
Video daripada satu segmen MHI itu tular apabila tetamu jemputan, Sissy Imann berdepan situasi lucu apabila pemanggil keliru dan menyangka bahawa dia adalah Zizi Kirana.
sumber : hmetro
Leave a Reply