
KOTOR dan meloyakan. Demikian gambaran keadaan premis pemprosesan makanan di Jalan Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur, yang diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Dalam operasi bermula 10 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL menyerbu premis terbabit yang digunakan sebagai kilang memproses tauhu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, hasil pemeriksaan mendapati lantai dan dinding di sekitar ruang penyediaan dan pemprosesan tauhu kelihatan kotor dan berdaki hitam.
Beliau berkata, lipas turut ditemui di premis itu selain tandas dalam premis berdaki dan berbau.
“Ketika serbuan dibuat, pengendali didapati tidak memakai kasut dan penutup kepala sewaktu memproses makanan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pengusaha tidak melantik syarikat kawalan serangga perosak secara berjadual untuk premis.
“Oleh itu, tindakan penutupan di bawah Penutupan Premis Tidak Suci selama 14 hari diambil terhadap premis berkuat kuasa esok mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983,” katanya.
Nor Hisham berkata, sekiranya masalah sama masih timbul selepas ini membabitkan premis itu, notis penutupan baharu akan dikeluarkan berserta syor batal lesen.
Difahamkan, operasi itu disertai oleh seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan (PPKPK) dan empat Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).
Sumber Hmetro
Leave a Reply