
KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan ibadat haji tahun ini kepada tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau berharap semua bakal haji bersabar dan reda dengan keputusan penangguhan ibadat haji bagi musim 1441H.
“Saya akan bertemu Duta Arab Saudi di Malaysia untuk menyerahkan surat rasmi penangguhan haji berkenaan.
“Selain Malaysia, negara lain yang turut menangguhkan ibadat haji tahun ini adalah Kemboja, Indonesia, Brunei dan Singapura,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Selain dari itu antara intipati pengumuman Menteri Agama DS Zulkifli Albakri adalah :
- Semua masjid, surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan dibuka bagi solat Jumaat, berjemaah dengan perluasan bilangan 1/3 daripada had kapasiti dewan solat mulai esok
- Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan rider e-hailing –
- Muslimah juga dibenar untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama mahram
- Kuliah Maghrib dan kuliah Subuh boleh dijalankan semula dengan mematuhi beberapa syarat
- Akad nikah boleh dijalankan di masjid, JAWI akan keluar garis panduan terperinci
- Pembukaan aktiviti masjid, surau Jumaat dan surau secara berperingkat dan dimulakan bagi warganegara terlebih dahulu
Malaysia akur pendirian Arab Saudi tangguh ibadah haji
KERAJAAN akur pendirian Arab Saudi yang menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, terpulang kepada kerajaan Arab Saudi kerana mereka lebih memahami keadaan di sana.
“Justeru, saya berharap umat Islam yang berhasrat dan sudah membuat persiapan boleh menerima keputusan ini dan bersabar.
“Mudah-mudahan mereka (bakal jemaah haji) juga dikira sebagai orang yang mendapat ganjaran pahala kerana sudah mula dengan niat baik, namun terdapat halangan tertentu.
“Biasanya, mereka yang bakal menunaikan ibadat haji tahun ini sudah dimaklumkan awal dan sudah mendapat surat untuk persediaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada semua agensi berkaitan sebagai persediaan sebelum dimaklumkan kepada bakal jemaah.
Terdahulu, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal.
Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh Benten berkata, Arab Saudi bersedia menerima jemaah haji dan umrah namun dalam keadaan dunia berdepan wabak Covid-19, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam.
Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.
sumber : hmetro /MKN
Leave a Reply