
SELEPAS ditunggu-tunggu sejak lebih dua bulan lalu, kerajaan bersetuju membenarkan perkhidmatan gunting rambut, dan kecantikan dan yang berkaitan dengannya bermula 10 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, aktiviti dibenarkan ialah gunting rambut, cuci rambut, cukur misai dan jambang, solekan dan dandanan rambut, pedicure, menicure dan cuci muka.
Katanya, penggunaan apron pakai buang untuk setiap pelanggan adalah perlu dan tukang gunting juga perlu menggunakan penghadang muka dan sarung tangan ketika menggunting rambut.
“Bagi yang berisiko tinggi seperti 60 tahun ke atas, proses gunting adalah secara temujanji dan hadir sendiri tanpa ditemani sesiapa.
“Mungkin untuk elakkan percampuran dengan orang ramai kerana warga emas adalah berisiko tinggi,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Katanya, gunting rambut kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun juga dibenarkan dan mereka perlu memakai pakaian perlindungan diri.
Ismail Sabri berkata, SOP am yang lain seperti pemakaian pelitup muka, pembasmi kuman, periksa suhu dan mengambil nama adalah yang perlu dipatuhi seperti biasa.
Ketika ditanya mengenai perkara sama, beliau berkata gunting rambut dari rumah ke rumah adalah digalakkan dan masih perlu mematuhi SOP ditetapkan.
Apa Kata Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia
“ALHAMDULILLAH, terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan. Kami akan melakukan yang terbaik untuk semua,” kata Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir.
Katanya, kebenaran untuk memulakan operasi 10 Jun yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melegakan 450 ahlinya yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan itu sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya akan memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan dipatuhi sebaik mungkin demi kebaikan bersama.
Buat masa ini kami di peringkat gabungan penggunting dan jurugaya rambut serta yang mengusahakan dandanan serta solekan akan mengenai keperluan beroperasi mengikut norma baharu.
Ia seperti penggunaan penghadang muka, sarung tangan serta apron pakai buang yang turut membabitkan kos tambahan kepada kami. Bagaimanapun, ia akan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya kepada Harian Metro.
Kerajaan dalam mesyuarat harian PKP hari ini memberi kebenaran untuk kedai gunting rambut, dandanan dan solekan beroperasi bermula Rabu ini.
Ismail Sabri berkata, industri berkenaan menyumbang sebanyak RM13.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia adalah jumlah yang besar kepada negara.
Pengumuman berkenaan menamatkan penantian lebih 74,000 penggiat industri itu yang sebelum ini memohon kelonggaran kepada kerajaan untuk mereka beroperasi secara bersyarat.
sumber : hmetro
Leave a Reply